KPKM ambil sampel beras untuk kesan isu tukar kampit

KPKM ambil sampel beras untuk kesan isu tukar kampit

Pengambilan sampel itu dilakukan dalam operasi bersepadu di premis pemborong beras diketuai Timbalan Menterinya Chan Foong Hin semalam.

Chan Foong Hin (tengah) mengetuai operasi bersepadu di premis pemborong beras di sekitar Selangor, semalam. (Gambar Facebook Chan Foong Hin)
PETALING JAYA:
Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) semalam melakukan operasi bersepadu di premis pemborong beras di sekitar Selangor.

Operasi diketuai Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin yang membabitkan 42 anggota penguat kuasa dan polis itu turut membabitkan pengambilan sampel beras untuk analisis bagi mengesan tiada pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

Selain itu, mereka turut melakukan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa semua premis pemborong beras mempunyai BPT dan BPI, lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

“Semua sampel yang diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk tujuan analisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan BPI,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi itu membabitkan kerjasama penguat kuasa rentas agensi antaranya Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB); KPKM; Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); polis dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“KPKM akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.