
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata walaupun polemik itu telah selesai apabila Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskannya pelaksanaannya tidak membabitkan pelajar bukan Islam namun tegasnya kerosakan telah pun berlaku.
“KPM telah menjelaskan namun kerosakan telah berlaku disebabkan mesej (berkenaan pelaksanaan Hadis 40) tidak sampai ke bawah, antara penganut agama mereka rasa tidak puas hati. Ini tidak bagus untuk negara.
“Mustahak kerajaan ada komunikasi berkesan, banyak dasar baik diperkenalkan kerajaan tetapi entah kenapa tidak sampai ke pengetahuan rakyat. Rugilah,” katanya kepada FMT.
Pada 19 Ogos, KPM melancarkan modul himpunan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah menengah kebangsaan agama dan sekolah agama bantuan kerajaan sebelum diedarkan ke sekolah kerajaan tahun depan.
Penggunaan ayat ‘projek rintis’ yang kemudiannya akan diperluaskan kepada semua sekolah menengah kebangsaan menyebabkan ada mempertikai pelaksanaanya antaranya MCA dan Gerakan.
Enam hari kemudiannya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi sebaliknya hanya pelajar Islam.
Penjelasan itu menjawab kekeliruan timbul di kalangan pihak membantah pengenalan modul itu.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui FMT bersetuju KPM harus mempunyai pasukan komunikasi berkesan untuk menjawab kekeliruan dalam isu berkenaan.
“Bukan KPM sahaja kementerian lain pun patut miliki pasukan komunikasi baik. Kaji dulu sebelum umum, biar terang…tak adalah rakyat salah faham,” kata Saiful Azmi, 42, yang bekerja sebagai penghantar barang.
Seorang pesara, Embi Ibrahim, 65, berkata prasangka negatif antara satu sama lain boleh dielakkan jika ada penerangan jelas dan berharap ia menjadi iktibar lebih-lebih dalam soal agama.