Ditipu sindiket pinjaman wang, ahli perniagaan rugi lebih RM200,000

Ditipu sindiket pinjaman wang, ahli perniagaan rugi lebih RM200,000

Mangsa berusia 51 tahun itu diperdaya ketika mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM130,000 selepas melihat iklan di media sosial.

Menurut polis, mangsa membuat laporan di IPD Taiping dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan yang berhasrat membuat pinjaman wang sebanyak RM130,000 mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu sindiket, dalam kejadian bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai ditipu selepas melihat satu iklan pinjaman wang di Instagram.

Katanya, mangsa kemudiannya tertarik dan berhasrat membuat pinjaman wang sebanyak RM70,000 dengan menghubungi nombor telefon yang diiklankan.

“Mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama Thong Ji Sing. Dia diminta membuat beberapa transaksi bayaran sebagai wang proses bagi mendapatkan pinjaman itu.

“Bermula dari 1 hingga 16 September lalu, mangsa melakukan sebanyak 25 transaksi pembayaran kepada 16 nombor akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM100,020 sebagaimana diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa seterusnya melihat satu lagi iklan pinjaman kedua di laman sama daripada syarikat berlainan dan ingin buat pinjaman sebanyak RM60,000.

“Mangsa berurusan dengan suspek kedua yang turut meminta wang proses serta bayaran perkhidmatan dan telah melakukan transaksi sebanyak 24 kali ke 14 nombor akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM113,680.

“Selepas melakukan 30 transaksi secara keseluruhan dengan jumlah RM213,700 bagi kedua-dua pinjaman itu, mangsa bagaimana pun masih gagal mendapatkan pinjaman yang dipohon.

“Malah pertanyaan mangsa tentang status pinjamannya kepada kedua-dua suspek menerusi panggilan telefon tidak dilayan dan panggilannya telah disekat,” katanya.

Katanya, kejadian itu membuatkan mangsa menyedari sudah ditipu sebelum tampil membuat laporan di IPD Taiping, sementara siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.