31 rakyat Malaysia mangsa sindiket tipu kerja di Myanmar selamat tiba

31 rakyat Malaysia mangsa sindiket tipu kerja di Myanmar selamat tiba

Kementerian Luar berkata kepulangan mereka tidak dapat diuruskan segera kerana masuk secara haram.

Kementerian Luar berkata penghantaran pulang itu sebahagian usaha berterusan kementerian menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian.
PETALING JAYA:
Seramai 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar, selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada petang Sabtu.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan itu tiba di Kompleks ICQS kira-kira 6.50 petang dan seterusnya diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut kenyataan itu, urusan penghantaran pulang berkenaan berjaya dilaksanakan hasil kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon.

“Penghantaran pulang ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian,” menurut kenyataan memetik Bernama.

Kementerian memaklumkan kejayaan operasi itu hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, polis, imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS), Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon, serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Kementerian Luar turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama yang kukuh dalam memudahkan serta mempercepatkan urusan kepulangan 31 warga Malaysia berkenaan.

Sementara itu, kementerian memaklumkan warga Malaysia terbabit adalah antara beberapa warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy, baru-baru ini.

Identiti individu berkenaan telah disahkan lebih awal oleh pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa urusan penghantaran pulang sebelum ini pada awal Disember, katanya.

“Kepulangan mereka tidak dapat diuruskan dengan segera memandangkan mereka tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan kerana kemasukan secara haram. Namun, hasil usaha dan rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta bantuan pihak berkuasa Imigresen Tak, kumpulan itu dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada 19 Dis,” menurut kenyataan itu lagi.

Susulan pembebasan itu, kumpulan berkenaan disambut oleh pegawai kedutaan di Bangkok dan dihantar pulang ke Malaysia melalui jalan darat menerusi Bukit Kayu Hitam.

“Bantuan konsul yang komprehensif telah diberikan, termasuk memaklumkan kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, pengaturan logistik, penyediaan keperluan asas, serta iringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam, Kedah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.