
Heng Vie Yet dan suaminya, Wong Hun Boon, masing-masing berumur 51 tahun, didakwa bersama-sama menipu syarikat Novin Roshd Shahran Foudeh dengan memperdaya untuk mempercayai bahawa syarikat Stillwater Venture Sdn Bhd boleh membekalkan 85 metrik tan makanan lembu ke Iran.
Perbuatan pasangan itu yang merupakan pengarah syarikat Stillwater Venture itu telah mendorong syarikat terbabit menyerahkan sejumlah EUR 105,295 (RM488,197.60) ke dalam akaun bank atas nama syarikat Stillwater Venture sebagai bayaran pendahuluan 70 peratus, syarikat tersebut tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama di sini antara 1 Julai 2024 hingga 12 Dis 2024, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zul Hilmi Latif memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala pasangan itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan mereka tidak mampu membayar wang jaminan selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes.