
Justeru, garis panduan itu diubah suai kepada pendekatan yang ‘lebih lembut’ dan berhemah, menurut Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Hishamuddin Karim.
“Kita mendidik atlet agar pakaian yang dikenakan adalah mesra syariah. Kita didik perlahan-lahan dan beri kesedaran kepada atlet berbanding langkah penguatkuasaan yang tegas,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Hishamuddin menambah usaha mendidik atlet agar mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu yang dilancar pada 2020 tetap diteruskan.
Terdahulu, dalam sesi soal lisan, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (PAS-Sura) bertanyakan mengenai standard pemakaian menutup aurat yang ditetapkan kerajaan negeri pada setiap acara sukan dan program dilaksanakan NGO di Terengganu.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan kerajaan negeri muktamad tidak menyertai acara gimnastik wanita dan gimrama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
“Masalahnya, pakaian (atlet wanita) adalah terlalu ketat dan menampakkan bentuk tubuh mereka. Buat masa ini kita tak teruskan. Kita tak akan berkompromi dalam perkara ini dan pendirian ini perlu dihormati,” katanya.
Beliau menambah garis panduan itu hanya tertakluk kepada atlet beragama Islam sahaja.