PAS tak rayu keputusan batal kemenangan PN di Kemaman

PAS tak rayu keputusan batal kemenangan PN di Kemaman

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata PAS menunggu dan bersiap sedia untuk 'langkah selanjutnya'.

PAS tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengisytiharkan kemenangan PN di Parlimen Kemaman pada PRU15 terbatal dan tidak sah, kata Takiyuddin Hassan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS tidak akan merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Perikatan Nasional di Parlimen Kemaman pada PRU15, sekaligus membuka ruang kepada pemilihan baharu.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata partinya “menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Di sebalik kemenangan bergaya PN yang meraih majoriti 27,179 undi, mahkamah pada 26 Sept lepas mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah selepas menerima dakwaan pempetisyen berhubung sogokan semasa tempoh berkempen.

Takiyuddin memetik Hakim Anselm Charles Fernandis ketika pengurusan kes hari ini, yang menyatakan “terdapatnya unsur-unsur rasuah bagi bahagian pilihan raya Parlimen ini” tanpa menamakan mana-mana pihak.

“PAS memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan mahkamah,” kata Takiyuddin, pada hari terakhir tempoh yang diberikan mahkamah kepada parti itu untuk memohon menggantung perintahnya.

Petisyen difailkan oleh seorang pengundi Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil, yang diwakili oleh peguam, Mohd Hafarizam Harun.

Pada pilihan raya lalu, PN meraih 65,714 undi untuk menewaskan Barisan Nasional yang meraih 38,535 undi, Pakatan Harapan (8,340), dan Pejuang (506).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.