
Setiausaha Persatuan Pemilik Gaya Rambut Salun India Malaysia, M Meenaq Kumar, berkata walaupun terdapat akademi tukang gunting tempatan, namun mereka dilatih untuk menjadi usahawan.
Katanya, faktor itu penyebab ramai pelatih lebih cenderung memulakan perniagaan sendiri, berbanding bekerja di kedai gunting rambut.
“Dengan kurang RM20,000 sesiapa sahaja boleh membuka kedai gunting rambut,” katanya kepada FMT.
Meenaq berkata, tukang gunting mendapat gaji asas RM1,500 sebulan tidak termasuk kerja lebih masa.
Katanya, orang tempatan juga tidak berminat bekerja di kedai gunting rambut kerana tempoh kerja panjang dan bekerja pada hujung minggu dan cuti umum.
Meenaq, di mana persatuannya mewakili lebih 1,000 pemilik, berkata situasi mencari bakat lebih menyulitkan kepada kedai gunting rambut milik masyarakat India.
“Kami memerlukan pekerja India kerana sifat perniagaan kami memerlukan perhubungan dalam pelbagai amalan kebudayaan, termasuk (adat bagi bayi baharu lahir) dan pengebumian.
“Kami kebiasaannya menyediakan khidmat mencukur kepala kepada pelanggan,” katanya.
Beliau mengulas tindakan kerajaan menarik balik sebahagian pembekuan pengambilan pekerja asing dalam sektor tekstil, kedai emas, dan kedai gunting rambut. Di bawah langkah tersebut, 7,500 pekerja asing tersedia untuk diambil kerja bagi sektor itu.
Dalam pada itu, ahli ekonomi Barjoyai Bardai, berkata kegagalan majikan sektor itu menawarkan gaji lebih kompetitif menjadikan bakat tempatan keberatan bekerja di kedai gunting rambut.
“Kadar gaji mesti lebih tinggi. Gaji sepatutnya melebihi paras kemiskinan yang mana ketika ini pada kadar RM2,208. Saya rasa membawa masuk migran sudah menjadi tabiat bagi perniagaan kecil kerana mereka dapati sukar cari pekerja tempatan, jadi jawapan mudah import (pekerja) sahaja,” katanya.