
Itu hukuman dikenakan terhadap Noor Azman selepas dibebaskan Jawatankuasa Tatatertib FAM daripada penggantungan.
Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, menjelaskan pihaknya menghormati keputusan jawatankuasa tersebut yang dicapai pada mesyuarat kelmarin,
menyaksikan Noor Azman yang digantung tugas sejak 17 Okt lalu susulan isu dokumentasi tujuh pemain warisan kembali menggalas tugasnya berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengikut saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) sebelum ini yang mencadangkan Noor Azman dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib.
“Kita sudah selesaikan proses kita. Maknanya, kita sudah serahkan kepada IIC dan IIC sudah beri dapatan (siasatan) mereka, kita pun sudah ikut, kita hantar ke jawatankuasa tatatertib.
“Namun, jawatankuasa tatatertib sudah buat keputusan macam itu, kita kena hormat. Kita ikut proses dan apa keputusan pun, apabila kita ada jawatankuasa buat keputusan, kita kena hormatlah keputusan itu,” katanya menurut Berita Harian.
Dalam kenyataan semalam, FAM memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Dis lalu membincangkan hasil laporan daripada IIC dan membuat keputusan meneruskan penggantungan Noor Azman bagi membawa kes berkenaan ke jawatankuasa tatatertib bagi tindakan lanjut.
Justeru, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Baljit Singh Sidhu bermesyuarat dan selepas mengambil kira tempoh penggantungan dikenakan ke atas beliau dan juga laporan IIC bertarikh 15 Dis lalu, memutuskan untuk mengembalikan Noor Azman kepada tugasnya sebagai setiausaha agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi keputusan terbaru itu, ia menunjukkan Noor Azman hanya terkait dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terbabit dalam hal pemalsuan dokumen.