Pengusaha bas mohon skim latihan percuma untuk pemandu

Pengusaha bas mohon skim latihan percuma untuk pemandu

Persatuan pengusaha bas itu berkata Belanjawan 2024 harus merangkumi skim latihan baharu dan insentif untuk bertukar kepada bas elektrik.

Masalah kekurangan pemandu bas dihadapi selama 20 tahun, menurut Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia.
PETALING JAYA:
Pengusaha bas menggesa kerajaan membiayai latihan untuk pemandu bas daripada golongan berpendapatan rendah B40 bagi menangani masalah kekurangan pemandu.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Ashfar Ali, mencadangkan skim itu dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen akhir bulan ini.

“Kami mencadangkan skim baharu menawarkan latihan percuma kepada bakal pemandu bas atau lori daripada kumpulan B40 yang berumur 21 tahun ke atas.

“Di bawah skim ini, kerajaan akan menampung kos keseluruhan RM3,000 untuk mendapatkan kedua-dua lesen Kelas E dan lesen kenderaan perkhidmatan awam,” kata Ashfar.

Berhubung gesaan untuk mempromosikan teknologi hijau, beliau mencadangkan agar insentif kewangan disediakan untuk pembelian kenderaan bas elektrik, komponen dan infrastruktur berkaitan.

Sementara itu, pengusaha teksi pula menggesa langkah menyelaraskan perkhidmatan teksi dan memastikan mereka mendapat tempat dalam pelan tindakan pengangkutan masa hadapan, berikutan peningkatan perkhidmatan e-panggilan.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain, berkata: “Kegagalan Kementerian Pengangkutan menyelesaikan masalah antara kami dan pengendali e-panggilan menyebabkan kami masih tidak dapat berdikari.

“Kami bergelut kerana kos barang yang semakin meningkat, walaupun dapat bekerja dan mempunyai penumpang.”

Beliau menggesa skim bantuan kerajaan Geran Khas Prihatin menghapuskan syarat pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata hampir 20,000 pemandu teksi kurang bernasib baik disebabkan syarat berkenaan.

“Tidak wajar untuk menetapkan sokongan menerusi pendaftaran syarikat kerana bukan setiap pemandu mempunyainya,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan memberikan bantuan itu berdasarkan pemilikan kad pemandu teksi, yang menurutnya adalah rujukan yang lebih tepat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.