8 empangan rosak perlu RM135 juta untuk dibaiki

8 empangan rosak perlu RM135 juta untuk dibaiki

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata antara kerosakan dikenal pasti adalah tirisan, integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

Empangan Kenyir di Terengganu antara lapan empangan dikesan mengalami kerosakan dan perlu diselenggara. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Pemeriksaan keselamatan oleh “Flying Squad” terhadap lapan empangan berisiko yang dilakukan antara 2021 dan 2022 mendapati ia mengalami kerosakan perlu dibaiki selain daripada penyelenggaraan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataan berkata lapan empangan itu adalah Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang di Perak, Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang, Empangan Babagon di Sabah, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Hasil pemeriksaan “Flying Squad” itu menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan, kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

Kementerian berkata, kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan berkenaan dianggarkan mencecah RM135.82 juta dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan.

“Sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak, kerajaan persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan,” katanya.

Kementerian itu juga bercadang meneruskan fungsi “Flying Squad” untuk membuat pemeriksaan ke atas empangan lain terutama yang berusia lebih 50 tahun.

Katanya, struktur dan tanggungjawab “Flying Squad” juga akan diperkukuhkan kepada struktur tetap dikenali sebagai Pusat Teknikal Empangan (DTC).

Pasukan “Flying Squad” merupakan struktur ad hoc diselaraskan oleh Bahagian Bekalan Air dengan keahlian terdiri daripada pakar pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Tenaga Nasional Bhd, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains serta pihak swasta.

Kementerian berkata, pemeriksaan empangan oleh “Flying Squad” mengguna pakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran iaitu Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan di Malaysia (MyDams).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.