
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia menyatakan bahawa di bawah dua pentadbiran sebelum ini, ekonomi juga mengalami kadar pengangguran yang tinggi, kekurangan tenaga buruh, dan mendatangkan kesan kepada pencen.
“Senario ekonomi telah mengalami anjakan struktur (sejak RMK12 mula dibentangkan). Versi asal juga telah dibentangkan lewat dan ia sendiri merupakan versi yang ada kekurangan berbanding apa yang ingin disampaikan, jadi ia tidak memuaskan dari awal lagi,” jelas Williams.
“Di samping itu, keutamaan baharu dasar ekonomi Madani, termasuk tujuh sasaran baharu, adalah berbeza daripada RMK12 yang asal, justeru ia menjadikan versi asal tidak lagi bersesuaian.”
RMK12 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept 2021, dengan anggaran peruntukan pembangunan sebanyak RM400 bilion.
Semasa pembentangan kajian separuh penggal RMK12 di Dewan Rakyat pada 11 Sept, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan sebanyak RM15 bilion untuk siling perbelanjaan rancangan ini, menaikkan jumlah peruntukan RMK12 kepada RM415 bilion.
Anwar berkata peningkatan itu adalah perlu untuk memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat, serta memaklumkan RMK12 akan dijajarkan semula dengan dasar ekonomi Madani yang bertujuan untuk memperkasa dan merancakkan ekonomi bagi tempoh 10 tahun.

Williams, yang menyatakan bahawa tambahan RM15 bilion itu hanya 3.8% daripada peruntukan asal RM400 bilion berkata, jumlah itu diperlukan untuk menangani inflasi yang tinggi berbanding untuk perbelanjaan tambahan.
“Ini bermakna kebanyakan perubahan adalah mengenai pembaharuan sistem, termasuk pembatalan projek, perubahan dalam subsidi, dan penekanan terhadap kekuatan industri sedia ada,” katanya.
“Perubahan ini merupakan pembaharuan yang dilaksanakan secara berfokus, bukannya perbelanjaan tambahan yang ‘menyamar’ sebagai pembaharuan, seperti sebelum ini.”
Kajian separuh penggal RMK12 mempunyai tiga fokus utama; iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera, dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Kajian separuh penggal ini menyatakan bahawa peralihan tenaga memberi peluang yang signifikan untuk meneroka potensi pertumbuhan hijau, dengan peralihan itu termasuk transformasi ke arah industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high growth high value) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk mempercepat pembangunan sumber tenaga boleh baharu.

Pensyarah kanan ekonomi Universiti Malaya Goh Lim Thye berkata, bidang tumpuan kajian separuh penggal telah menunjukkan pelbagai cabaran sosioekonomi semasa; menetapkan matlamat jangka panjang yang bercita-cita tinggi; dan menekankan kepentingan daya saing global, inovasi, inklusiviti, keyakinan pelabur, dan kemampanan.
Goh menyambut baik kepentingan kajian separuh penggal untuk menilai kemajuan yang telah dilaksanakan dalam usaha mencapai matlamat RMKe-12, dan berpendapat ia memberikan gambaran berhubung kejayaan dan kegagalan, lantas membolehkan keputusan dibuat berasaskan fakta.
Yang penting, katanya, kajian separuh penggal itu juga membolehkan pembetulan khusus yang diperlukan, bagi memastikan RMKe-12 kekal relevan dengan menyesuaikan strategi untuk bertindak balas terhadap cabaran atau kemajuan yang perlahan.
“Ini meningkatkan kecekapan dengan mengenal pasti ketidakcekapan pengurusan sumber, yang membawa kepada penambahbaikan peruntukan sumber dan pelaksanaan,” katanya.
“Di samping itu, kajian separuh penggal ini membantu dalam menangani cabaran dan peluang baharu, di samping membolehkan penyesuaian terhadap situasi yang berubah.
“Akhir sekali, ia menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti melalui penilaian awam, yang memupuk kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan dalam memenuhi janjinya.”