Kebakaran Sandakan: Kerajaan selaras bantuan segera, penempatan sementara

Kebakaran Sandakan: Kerajaan selaras bantuan segera, penempatan sementara

Kira-kira 200 rumah musnah dalam kejadian awal pagi tadi di perkampungan atas air Kampung Bahagia.

Antara bantuan disalurkan kerajaan bagi mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan termasuk tempat perlindungan sementara, keperluan asas serta makanan, menurut Ketua Menteri Hajiji Noor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan bersama kerajaan Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau terkesan ketika menerima laporan kebakaran di kampung itu yang memusnahkan ratusan buah rumah.

“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini, lapor Bernama.

Dilaporkan sebelum ini, kira-kira 200 rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi di perkampungan atas air itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 pagi.

Sehubungan dengan itu, seramai 35 anggota bomba termasuk dari BBP Sandakan serta Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

Dalam pada itu, kerajaan Sabah menggerakkan semua agensi berkaitan untuk turut menyalurkan bantuan segera dan menjaga kebajikan mangsa.

Antara bantuan disalurkan termasuk menyediakan tempat perlindungan sementara, keperluan asas serta makanan, menurut Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.