Bekas KP agensi kewangan didakwa salah guna dana baiki rumah

Bekas KP agensi kewangan didakwa salah guna dana baiki rumah

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya bagi menggunakan dana agensi untuk mengubah suai kediaman dan membiayai perbelanjaan utiliti kediaman peribadinya.

Tertuduh Danial Mah Abdullah yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Labuan mengaku tidak bersalah menggunakan dana agensi untuk melakukan pembaikan di kediamannya. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Bekas ketua pengarah sebuah agensi kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Labuan atas tuduhan menggunakan dana agensi itu untuk melakukan pembaikan di kediamannya termasuk menyiapkan tandas dan membersihkan stor antara 2017 hingga 2020.

Tertuduh, Danial Mah Abdullah, 63, mohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga, lapor Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, Danial didakwa melakukan perbuatan itu antara 2017 hingga 2020 ketika menjadi ketua pengarah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) membabitkan jumlah dana sebanyak RM26,025.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya bagi menggunakan dana LFSA untuk mengubah suai kediaman dan membiayai perbelanjaan utiliti kediaman peribadinya serta membuat pembelian aset bagi kepentingan dirinya sendiri.

Ia membabitkan pembayaran untuk kerja membina dan menyiapkan tandas, membersihkan stor, memasang pintu serta kerja lain di kediaman persendirian dengan nilai suapan RM20,225.

Selebihnya ialah untuk melaksanakan kerja membekal dan memasang pintu keselamatan kediaman persendirian membabitkan nilai suapan RM5,800.

Mahkamah menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM15,000 dengan RM5,000 deposit dan seorang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Putra.

Hakim menetapkan 23 Nov depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.