
Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Dalam kejadian pada 10.15 pagi itu, melibatkan 14 kenderaan termasuk sebuah motosikal polis trafik, lori treler berkenaan melanggar barisan kenderaan yang sedang berhenti di laluan terbabit.
Akibat kemalangan itu, dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz semalam berkata, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pekerja Pos Malaysia Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.
Asmadi semalam turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut agar membantu siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu treler itu, katanya, tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan keputusan ujian air kencingnya didapati negatif.