
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 25 tahun dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani di Mahkamah Majistret Port Dickson, lapor Astro Awani.
Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap bewarna jingga dibawa ke mahkamah dengan menaiki sebuah van dan dikawal pegawai serta anggota polis.
Dalam kejadian tular semalam, suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha dikatakan cuba melanggar sekatan jalan raya JPJ di kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, kira-kira 11 pagi.
Suspek merempuh anggota dikenali sebagai Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, sebelum mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, dilaporkan berkata suspek turut mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012.