
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan mengadakan libat urus dengan JPKP, pihak berkepentingan, dan pakar panel untuk mendengar cadangan dan pandangan mereka.
“Kementerian terbuka terhadap (segala) pandangan. (Sebarang) cadangan tentang pindaan itu kita akan terima secara tuntas dan bincang petang ini,” katanya kepada pemberita selepas sebuah acara.
Zaliha berkata, RUU itu dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat bulan depan.
“Yang terbaiknya kita selesaikan masalah ini dan pada Oktober (bulan depan), dapat persetujuan daripada semua Ahli Parlimen.”
Tambahnya, antara topik yang akan dibincangkan pada pertemuan hari ini ialah hukuman yang akan dikenakan atas pelanggaran undang-undang kawalan tembakau yang dicadangkan itu.
Pertama kali dibentangkan oleh bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin pada Julai tahun lepas, RUU GEG bertujuan melarang individu yang lahir pada atau selepas 1 Jan 2007 daripada merokok.
RUU itu ditangguhkan disebabkan bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen mengenai kandungannya. Pada masa itu, JPKP mengenai kesihatan diminta menangani isu tersebut.
RUU itu turut ditangguh pada Jun apabila ia dirujuk semula kepada JPKP untuk semakan. Zaliha sebelum ini berkata ahli JPKP, Ahli Parlimen, badan profesional dan NGO menggesa agar beberapa perkara bawah RUU itu dikaji semula.
Zaliha menegaskan bahawa KKM komited untuk memastikan RUU GEG diluluskan oleh Parlimen untuk manfaat generasi akan datang.