
Timbalan Presiden Malaysia Consumers Movement, Beninder Singh berkata, menafikan warga asing membeli beras dihasilkan tempatan bukan penyelesaiannya kerana banyak lagi isu rumit ekonomi memainkan peranan dalam menyebabkan masalah kekurangan beras itu dalam pasaran.
Beliau berkata, larangan sedemikian sangat tidak adil bagi warga asing yang menyumbang kepada ekonomi negara dengan membayar cukai pendapatan kepada kerajaan.
“Kita mesti menerima hakikat warga asing ini menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara kita dan mereka berterusan melakukan perkara itu.
“Mereka juga manusia biasa dan kita mesti memaparkan empati dan bukan dengan mudah menafikan mereka ketika keadaan memerlukan,” katanya kepada FMT.
Pada Khamis, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Melaka Dr Akmal Saleh, meminta kerajaan mengehadkan pembelian beras tempatan kepada warga asing susulan bekalannya semakin berkurangan.
Beliau yang juga ketua Pemuda Umno, berkata keutamaan sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan kerana beras tempatan disubsidikan kerajaan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Azman Mahmood, berkata cadangan Akmal itu tidak praktikal kerana memerlukan peniaga menentusahkan kewarganegaraan pelanggan mereka.
“Cadangan itu kelihatan baik, namun bagaimana kaedah pelaksanaannya? Itu yang kita perlu timbang bersama,” katanya.
Katanya, keputusan kerajaan mengehadkan penjualan beras putih tempatan 100kg untuk seorang pengguna sudah mencukupi bagi menangani masalah bekalan dalam pasaran.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Paul Selvaraj, berkata kerajaan sepatutnya melihat penyelesaian jangka panjang menyelesaikan masalah keterjaminan makanan, terutama beras keluaran tempatan.
Katanya, pengeluaran beras tempatan perlu ditingkat demi keselamatan makanan rakyat.
“Jika kita bergantung kepada import, bukan sahaja beras tapi semua makanan kita. Bukan sahaja kita bazir banyak wang, kita turut berdepan masalah bila mana negara lain juga ada masalah,” katanya.