Negeri lain patut contohi strategi pertumbuhan Sarawak, kata Anwar

Negeri lain patut contohi strategi pertumbuhan Sarawak, kata Anwar

Perdana menteri memuji Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak, yang turut memfokuskan kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.

Anwar Ibrahim (tengah) disambut Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan setibanya di Kuching untuk sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan malam ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memuji Sarawak atas Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS) dan berkata negeri lain perlu mencontohi negeri Borneo itu.

Katanya, beliau dimaklumkan Premier Sarawak, Abang Johari Openg hari ini bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri Malaysia Timur itu pada 2022 adalah 20 kali ganda berbanding 1963, ketika Malaysia ditubuhkan.

“Premier Sarawak juga membentangkan PCDS 2030 yang menyasarkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.

“Saya turut berkongsi pandangan bahawa anjakan besar yang dilaksanakan ini wajar dijadikan contoh buat negeri lain,” katanya dalam catatan Facebook.

Anwar berkata, Putrajaya akan bekerjasama rapat dengan Sarawak untuk membantunya mencapai matlamat PCDS 2030.

Kerajaan Sarawak pimpinan Abang Johari melancarkan PCDS 2030 pada Julai 2021, menetapkan rancangan jangka panjang bagi negeri itu untuk mengubah struktur ekonomi negeri dalam menangani kesan pandemik Covid-19.

PCDS 2030 berteraskan enam sektor utama untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, iaitu pelancongan, pertanian komersial, pembuatan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.