PM NZ puji kepimpinan Malaysia dalam Asean ketika dunia bergolak

PM NZ puji kepimpinan Malaysia dalam Asean ketika dunia bergolak

Christopher Luxon berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menjalankan tugas sangat baik memimpin Asean walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Christopher Luxon
Christopher Luxon berkata kekuatan Asean menghimpunkan semua pihak serta usaha Malaysia membina hubungan baharu, termasuk Sidang Kemuncak Asean-GCC-China, telah diterima dengan baik.
AUCKLAND:
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon memuji kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi Asean di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya cemerlang walaupun dunia sedang berdepan pelbagai cabaran besar.

“Saya rasa Anwar telah melakukan tugas sangat baik,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini dunia berdepan banyak konflik berlarutan serta ketidaktentuan dalam perdagangan global disebabkan tarif serta sekatan ekonomi.

Luxon berkata kekuatan Asean menghimpunkan semua pihak ke meja rundingan, serta usaha Malaysia memperkukuh hubungan baharu – seperti Sidang Kemuncak Asean-Kerjasama Teluk-China – memainkan peranan penting dalam mempererat kerjasama ekonomi serantau.

“Dalam konteks ini, kemampuan mengumpulkan menteri perdagangan untuk menegaskan semula kepentingan sistem perdagangan berasaskan peraturan antarabangsa sangat penting.

“Kita mesti terus mempertahankan sistem berasaskan peraturan itu,” katanya.

Beliau turut menekankan peningkatan kerjasama keselamatan dan pertahanan antara New Zealand dan negara anggota Asean.

“Keamanan serantau amat penting. Jika tiada kestabilan, konflik boleh tercetus, dan ini membawa kesan besar kepada ekonomi serta penderitaan rakyat — sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Perkongsian berterusan

Mengenai kerjasama pertahanan, Luxon berkata New Zealand kekal komited terhadap rangka keselamatan serantau, termasuk Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) bersama Malaysia, Singapura, Australia dan United Kingdom yang disifatkannya masih kukuh.

Perjanjian dimeterai sejak 1971 itu membolehkan negara anggota berunding segera sekiranya berlaku ancaman atau serangan bersenjata.

“Ada peluang untuk terus membina dan memperkukuh hubungan antara menteri pertahanan, selain meningkatkan tahap keserasian operasi,” katanya.

Tambahnya, kerjasama itu kini melangkaui latihan dan operasi bersama, mencerminkan hubungan strategik yang semakin mendalam.

Luxon turut menekankan keperluan kerjasama serantau yang lebih baik dalam menangani bencana alam, yang menurutnya “malangnya semakin kerap berlaku”.

Beliau berkata bajet pertahanan New Zealand berjumlah NZ$2 bilion tahun ini mencerminkan komitmennya memperkukuh keselamatan serantau, sambil mengurangkan kebergantungan kepada sekutu seperti Amerika Syarikat.

Namun, katanya, New Zealand tetap menghormati nilai serta pendekatan berbeza setiap negara dan menekankan pentingnya tindakan seiring dengan prinsip dipegang.

“Setiap negara ada nilai tersendiri. Kita mesti memastikan tindakan kita selaras dengan nilai itu.

“Bagi New Zealand, kami sentiasa mempertahankan dasar luar yang bebas dan berprinsip, tetapi perlu disokong dengan pelaburan sewajarnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.