
Setakat 13 Sept, Jelajah Belanjawan 2024 ke seluruh pelosok negara melalui sembilan jelajah yang diterajui oleh Timbalan Menteri I Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri II Steven Sim, serta 24 sesi libat urus dikendalikan kementerian-kementerian.
“Sesi tersebut melibatkan penyertaan daripada lebih 7,000 peserta dari pelbagai latar belakang seperti dewan perniagaan, pakar ekonomi, teknokrat, NGO, dan orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa yang sama, MoF menerima lebih 9,500 maklum balas daripada orang ramai melalui portal Cadangan Belanjawan 2024.
Maklum balas diterima melalui semua platform meliputi bidang kelestarian ekonomi seperti pemeliharaan persekitaran, ekonomi hijau, tata kelola baik, pendigitalan, penambahbaikan tadbir urus fiskal, dan langkah memajukan industri sedia ada seperti industri kreatif dan pelancongan.
Kesiapsiagaan Belanjawan 2024 bermula dengan pembentangan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai, yang turut memainkan peranan sebagai kenyataan pra-Belanjawan.
Kerangka tersebut menjadi panduan kepada kertas dasar kerajaan perpaduan untuk menstruktur semula ekonomi agar ia berlandas pada trajektori pertumbuhan baharu yang rancak dan saksama.
Kerangka dasar yang diluncurkan untuk melengkapi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merangkumi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Industri Baharu 2023, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Ini akan disusul dengan Belanjawan 2024 yang akan dibentang perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim pada 13 Okt, menggariskan usaha dan inisiatif untuk dilaksanakan pada 2024 bagi mencapai sasaran seperti diumumkan perdana menteri pada peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.
Selepas Kuching, Jelajah Belanjawan 2024 akan bersambung di Perak, Selangor, dan Labuan. Program ini dijangka berakhir pada 22 Sept 2023.
Orang ramai dijemput untuk memberikan pendapat dan cadangan di portal Cadangan Belanjawan 2024 melalui pautan https://budget.mof.gov.my/ms/.