Kes eksploitasi buruh kanak-kanak sering diterima rumah perlindungan

Kes eksploitasi buruh kanak-kanak sering diterima rumah perlindungan

Tahun ini sahaja Rumah Perlindungan Rembau menerima 12 kes buruh paksa kanak-kanak perempuan majoriti Rohingya.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Rumah Perlindungan Rembau, Maisyarah Ismail berkata, kebanyakan kes diterima dari Selangor.
PUTRAJAYA:
Eksploitasi buruh paksa melibatkan kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah antara kes tertinggi yang sering diterima Rumah Perlindungan Rembau, Negeri Sembilan.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Rumah Perlindungan Rembau, Maisyarah Ismail, berkata pada tahun ini sahaja, mereka menerima 16 kes pemerdagangan manusia dan 12 daripadanya adalah kes buruh paksa kanak-kanak.

Daripada 12 kes itu, 11 melibatkan bukan warganegara yang kebanyakannya etnik Rohingya dan satu warganegara yang berumur antara 16 hingga 17 tahun, dan kebanyakan kes diterima dari Selangor, katanya.

“Memang agak serius (buruh kanak-kanak). Ia antara lain melibatkan faktor keselamatan juga kerana mereka terpaksa bekerja di negara lain akibat permasalahan di negara asal,” katanya ketika ditemui Bernama pada Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerdagangan Orang 2023.

Di Malaysia, terdapat dua rumah perlindungan mangsa pemerdagangan kategori kanak-kanak iaitu di Rembau bagi kanak-kanak perempuan yang boleh menempatkan 30 mangsa pada satu-satu masa dan Rumah Perlindungan Bukit Senyum, Johor bagi kanak-kanak lelaki.

Maisyarah berkata, antara bidang tugas rumah perlindungan itu meliputi perkhidmatan kaunseling, kelas bimbingan asas membaca, menulis dan mengira (3M), kelas agama, dan pendidikan moral serta kraftangan.

“Kami akan menerima kes daripada agensi penguat kuasa seperti polis dan jabatan buruh (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia) dan mangsa akan ditempatkan selama 21 hari di rumah perlindungan sebagai perintah sementara dan keberadaan mangsa adalah bergantung kepada kes perbicaraan mahkamah dan sebagainya.

“Antara cabaran kami adalah masalah komunikasi jika berurusan dengan mangsa bukan warganegara, namun kemudiannya mereka dapat menyesuaikan diri dengan mangsa yang lain sehingga mereka meninggalkan rumah perlindungan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Abdul Gapar Abu Bakar ketika ditemui selepas simposium berkenaan berkata kerjasama rentas agensi yang terlibat dalam kes pemerdagangan manusia seperti polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak mahkamah perlu diperbaiki.

“Ia secara tidak langsung akan memudahkan urusan pengecaman identiti mangsa pemerdagangan manusia oleh agensi penguat kuasa dan mereka dapat diselamatkan dengan lebih pantas sekali gus urusan pendakwaan di mahkamah dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, ia juga dapat membantu Malaysia memperbaiki penilaian Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report).

US Tip Report 2023 yang dikeluarkan pada 15 Jun lepas menyaksikan Malaysia berada di kedudukan Tahap 2 (senarai amatan) selepas berada pada Tahap 3 bagi dua tahun berturut-turut pada 2021 dan 2022.

Kali terakhir Malaysia mencapai Tahap 2 adalah pada 2017 dan berada di senarai amatan Tahap 2 dari tahun 2018 hingga 2020.

Tahap 2 (senarai amatan) merujuk kepada kerajaan yang belum memenuhi piawaian sepenuhnya dalam isu pemerdagangan manusia namun sedang berusaha ke arah menanganinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.