Belanjawan 2026: Kumpulan wanita gesa pembiayaan mampan, reformasi gender

Belanjawan 2026: Kumpulan wanita gesa pembiayaan mampan, reformasi gender

Women’s Centre for Change seru peruntukan teras bagi menyokong mangsa manakala Gender Budget Group mahu sokongan menopaus dan pembiayaan politik wanita.

Kumpulan wanita mahu Belanjawan 2026 memberi keutamaan kepada perlindungan mangsa, sokongan menopaus dan penyertaan politik wanita. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan wanita menggesa kerajaan menggunakan Belanjawan 2026 untuk menutup jurang gender yang telah lama wujud — termasuk pembiayaan rumah perlindungan, perkhidmatan sokongan mangsa dan penyertaan politik wanita.

Women’s Centre for Change (WCC) di Pulau Pinang, yang memberi kaunseling krisis kepada hampir 600 klien baharu tahun lalu, berkata peruntukan persekutuan masih terlalu ‘ad hoc’ dan berasaskan projek, menjadikan NGO sukar merancang jangka panjang.

Karen Lai
Karen Lai.

“Pembiayaan teras yang mampan diperlukan, bukan sekadar untuk projek jangka pendek, tetapi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan melindungi golongan paling terdedah,” kata Pengarah Eksekutifnya, Karen Lai, kepada FMT.

Beliau menjelaskan ‘pembiayaan teras’ merujuk kepada peruntukan fleksibel yang membolehkan NGO bertindak balas secara berkesan di lapangan, sambil menambah model serupa telah digunakan di peringkat negeri.

Women’s Aid Organisation (WAO) turut menyeru pembiayaan berterusan dan menggesa Putrajaya menyediakan sokongan operasi 24 jam, membiayai latihan penjagaan berasaskan trauma, serta mewujudkan garis peruntukan khusus bagi menangani gangguan siber dan penyalahgunaan dalam talian.

“Pembiayaan operasi perlu merangkumi keperluan asas seperti sewa, utiliti, makanan, keselamatan, pengangkutan dan kos perubatan bagi memastikan rumah perlindungan dan talian bantuan dapat beroperasi 24/7,” kata WAO.

Sementara itu, Gender Budget Group (GBG) — gabungan 24 NGO dan 18 ahli akademik — menegaskan wujud jurang dalam dasar kesihatan wanita. Ia berkata dasar kesihatan negara berulang kali mengabaikan isu menopaus walaupun pelbagai kajian menunjukkan ia faktor utama wanita meninggalkan tenaga kerja.

S Indramalar
S Indramalar.

S Indramalar, penyelidik di Universiti Malaya dan Monash University Malaysia, berkata kerajaan perlu membiayai analisis keperluan nasional bagi memahami realiti yang dihadapi wanita Malaysia, kerana kajian sedia ada lebih tertumpu pada simptom dan rawatan semata-mata.

Beliau turut menggesa kerajaan mengintegrasikan sokongan menopaus dalam manfaat Perkeso dan KWSP bagi memastikan semua wanita bekerja, termasuk mereka dalam sektor tidak formal, mendapat akses kepada bantuan asas.

“Penyesuaian di tempat kerja seperti waktu fleksibel atau ruang kerja yang lebih sejuk seharusnya menjadi tanggungjawab majikan. Namun idealnya, ia tanggungjawab bersama, dengan kerajaan menyediakan garis panduan dan insentif cukai kebangsaan, manakala majikan melaksanakan sokongan praktikal,” katanya.

GBG turut mencadangkan reformasi bagi menutup jurang kepimpinan, termasuk kuota wanita dalam Parlimen dan dana khas bagi penyertaan politik wanita.

Pada masa ini, wanita hanya mengisi 13.5% kerusi di Dewan Rakyat — jauh di bawah penanda aras kesaksamaan gender antarabangsa.

Ong Bee Leng.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Women’s Development Corporation (PWDC), Ong Bee Leng berkata dana itu boleh distruktur dalam bentuk hibrid, disokong oleh sumber awam dan parti politik.

“Dana awam boleh menjadi insentif kepada semua parti untuk menampilkan lebih ramai calon wanita, terutama parti kecil yang berdepan kekangan kewangan.

“Dalam parti politik pula, belanjawan responsif gender semasa semakan tahunan dapat memastikan sumber diagihkan secara adil untuk memperkukuh penyertaan wanita,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.