
Chong Chieng Jen (PH-Stampin), berkata pindaan ordinan itu perlu dibuat demi menjamin pekerja Sarawak menikmati hak dan manfaat seperti mana di Semenanjung.
Beliau daripada DAP maklum bahawa ordinan itu merupakan undang-undang persekutuan dan perlu dipinda di Dewan Rakyat, namun hal ehwal buruh di bawah bidang kuasa negeri, autonomi yang dinikmati Sarawak.
Katanya, pekerja Sarawak yang meraih lebih RM2,500 tidak dapat sebarang perlindungan di bawah dua ordinan berkenaan dan Akta Kerja.
Majikan Sarawak juga tidak perlu membayar kerja lebih masa kepada pekerja tersebut, padahal di Semenanjung, hanya pekerja mendapat gaji lebih RM4,000 tidak dilindungi di bawah Akta Kerja.
Beliau berkata, pekerja wanita Sarawak juga tidak layak mendapat cuti bersalin 98 hari.
“Saya ingin tahu, apakah halangan kepada pindaan Sarawak Labour Ordinance dan siapakah yang menghalangnya?
“Untuk kepentingan para pekerja di Sarawak, saya menyeru supaya pindaan terhadap ‘Sarawak Labour Ordinance’ (Ordinan Buruh Sarawak) disegerakan supaya pekerja-pekerja di Sarawak tidak terus ditindas,” katanya dalam perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Pada 9 Julai, Borneo Post memetik Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Gerawat Gala, sebagai berkata pindaan terhadap ordinan akan dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia selepas resolusi beberapa peruntukan undang-undang berkenaan dicapai pada Ogos.
Gerawat berkata, draf pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang turut memasukkan pindaan kepada Akta Kerja serta peruntukan undang-undang berkaitan Standard Perumahan Minimum untuk pekerja telah dipersetujui Jemaah Menteri Negeri.
Katanya, pindaan itu termasuk menambah tempoh cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari, peruntukan baharu untuk cuti paterniti tujuh hari, mengurangkan jumlah jam bekerja seminggu daripada 48 jam kepada 45 jam dan peruntukan baharu menentang gangguan seksual.