
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, berkata caruman itu perlu dilakukan golongan berkenaan sekiranya ingin memohon lesen perniagaan baharu atau memperbaharui lesen menerusi empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah, dan Jasin.
“Dengan caruman serendah RM46.60 setahun atau hanya RM3.88 sebulan, skim ini memberi perlindungan jangka panjang kepada golongan ini sekiranya mereka terlibat dalam bencana kerja dan tidak ada sebarang insurans atau perlindungan lain ditawarkan dengan nilai serendah ini.
“Menerusi insurans ini, bukan sahaja penjaja mendapat perlindungan, malah keluarga mereka juga akan mendapat manfaat sekali gus mampu meneruskan kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri September 2023 dan Hari Bertemu Rakyat.
Beliau berkata, penguatkuasaan caruman SKSPS itu bertujuan melestarikan golongan penjaja dan peniaga di negeri itu selain memastikan mereka sentiasa dilindungi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 8,840 aduan atau 95.19% daripada keseluruhan 9,287 aduan disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) Kerajaan Melaka dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos lepas telah berjaya diselesaikan.
Rauf berkata, daripada jumlah aduan yang telah diselesaikan itu, sebanyak 7,286 aduan atau 82.42% daripadanya pula berjaya diselesaikan dalam tempoh 15 hari.
“Menerusi aduan yang diterima daripada SisPAA, saya berharap kualiti perkhidmatan awam kepada rakyat dapat dipertingkat dan diperbaiki dari semasa ke semasa demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Hari Bertemu Rakyat Mini akan dilaksanakan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat menerusi siri lawatan kerjanya ke setiap DUN berkenaan.
Katanya, menerusi inisiatif itu, kepimpinan negeri khususnya beliau dapat memantau dengan lebih dekat dan terperinci setiap program pembangunan dalam setiap DUN berkenaan.
“Kita juga dapat bertemu dengan rakyat sehingga ke akar umbi dan mendengar segala permasalahan mereka serta menyelesaikannya agar mereka dapat menikmati keselesaan dan kemudahan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.