3 tren baharu tingkat kekerapan LRT di laluan Kelana Jaya

3 tren baharu tingkat kekerapan LRT di laluan Kelana Jaya

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kekerapan LRT dapat ditambah baik daripada 4.4 minit kepada 3.8 minit.

Loke Siew Fook berkata, pada masa akan datang, kerajaan akan terus melabur dalam perkhidmatan rel seperti LRT, MRT dan monorel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini mengumumkan penambahan tiga tren empat koc baharu bagi laluan LRT Kelana Jaya menerusi projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27).

Beliau berkata, Rapid Rail menerima 11 set tren empat koc menerusi projek KLAV 27, dengan 16 lagi akan diperoleh secara berperingkat mulai bulan ini hingga Disember tahun depan.

“Sudah tentu ini memudahkan orang ramai kerana kekerapannya kita telah dapat tambah baik, daripada 4.4 minit kepada 3.8 minit,” katanya pada pelancaran salah satu tren baharu itu di stesen LRT Universiti.

Pada 2020, pengerusi Prasarana ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan projek KLAV 27 membabitkan pemerolehan 27 tren baharu dalam usaha memastikan perkhidmatan lancar di laluan LRT Kelana Jaya.

Projek itu dianggarkan menelan belanja bagi Prasarana dan Rapid Rail kira-kira RM1.72 bilion.

Loke berkata, kementeriannya menyasarkan penanda aras kekerapan pada tiga minit. Tambahnya, beliau berharap ini akan menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

Katanya lagi, pada masa akan datang, kerajaan akan terus melabur dalam perkhidmatan rel seperti LRT, MRT dan monorel, selain melihat kepada integrasi yang lebih menyeluruh antara perkhidmatan rel.

Laluan LRT Kelana Jaya, yang menampung kira-kira 300,000 penumpang sehari, kerap terjejas disebabkan isu teknikal.

Pada Mei, Loke berkata, kerajaan akan mengkaji semula cara Prasarana menyelenggara semua mod pengangkutan awam berasaskan rel bawah seliaannya.

Bernama melaporkan beliau berkata, dengan memperuntukkan lebih banyak masa untuk penyelenggaraan dan kejuruteraan, risiko kerosakan dan gangguan perkhidmatan dapat dikurangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.