
Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah, berkata mangsa wanita berusia 48 tahun membuat laporan Isnin lalu.
“Menerusi laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Batu Pahat, mangsa memaklumkan pada 11 Ogos lalu berurusan dengan seorang lelaki melalui Facebook dan WhatsApp.
“Mangsa menghubungi lelaki berkenaan untuk pembelian buku bahasa Cina terpakai. Selepas itu mangsa diajak suspek menyertai skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek meminta mangsa menekan pautan pelaburan dengan memasukkan identiti pengguna dan kata laluan diberikan kepadanya.
Katanya, bagi meyakinkan mangsa, suspek mendakwa terdapat keuntungan USD200,000 yang belum ditebus dan mangsa juga diberitahu keuntungan akan diterima selepas 10 malam dengan setiap modal dilaburkan akan diperoleh semula bersama baucar 5%.
Ismail berkata, mangsa kemudian pindahkan wang ke lima akaun bank berbeza atas arahan suspek berjumlah RM206,000 dari 25 Ogos hingga 5 Sept lalu.
Tetapi katanya, mangsa tidak menerima sebarang pulangan dan baucar dijanjikan, justeru membuat laporan polis selepas menyedari ditipu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan beliau menasihatkan orang ramai tidak terpedaya promosi pelaburan menjanjikan pulangan lumayan serta membuat semakan dengan pihak berkuasa jika mempunyai sebarang keraguan.