
Pengumuman ini menyusuli mesyuarat pertama beliau bersama beberapa pemegang taruh hari ini.
Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian di beberapa negara bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka, manakala Pasukan Petugas Khas Teknikal akan meneliti implikasi perundangan, perjawatan, dan kewangan.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, pengasingan peranan tersebut dijangka melibatkan pindaan pada Perlembagaan dan undang-undang serta beberapa peraturan berkaitan yang mana akan memberikan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
“Hasil perbincangan akan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang bagi pertimbangan selanjutnya,” kata Azalina dalam kenyataan.
Mesyuarat hari ini dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Willian Leong dan ahlinya, RSN Rayer; dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyati Samsudin dan Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh mewakili blok pembangkang.
Turut hadir Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri; Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan; serta Kementerian Kewangan, dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Azalina berkata, sesi perbincangan bersama polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kastam, dan agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pihak lain akan diadakan dalam masa terdekat.
“Agenda reformasi ini penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen kerajaan perpaduan dalam memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik,” katanya.