Keputusan akhir rujuk Takiyuddin ke JHK Parlimen pada Dewan Rakyat

Keputusan akhir rujuk Takiyuddin ke JHK Parlimen pada Dewan Rakyat

Menteri Azalina Othman Said kata perkara itu hanya boleh diputuskan melalui undian ahli Dewan Rakyat.

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MENGENAI TADBIR URUS DAN INTEGRITI MALAYSIA 2025
Menteri Azalina Othman Said kata Jemaah Menteri hanya memutuskan penyesuaian usul bagi membolehkan Ahli Parlimen Takiyuddin Hassan dirujuk ke JHK Parlimen.
PETALING JAYA:
Keputusan akhir untuk merujuk Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JHK) Parlimen tertakluk pada Dewan Rakyat, menurut menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menyangkal dakwaan campur tangan eksekutif, menjelaskan mesyuarat Jemaah Menteri 5 Dis lalu hanya memutuskan penyesuaian usul bagi membolehkan pemimpin PAS itu dirujuk ke JHK Parlimen.

Katanya, proses membawa usul ke Jemaah Menteri amalan biasa yang terpakai pada semua usul kerajaan tanpa pengecualian.

“Sebarang usul kerajaan mesti dibawa dahulu ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diputuskan secara kolektif, sebelum diserahkan kepada Dewan Rakyat untuk keputusan akhir,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

“Walau apa pun keputusan yang dibuat di peringkat Jemaah Menteri, ia masih tertakluk kepada pertimbangan Dewan Rakyat menurut Peraturan-peraturan Mesyuarat, dan hanya boleh diputuskan melalui undian ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Azalina menambah hansard Dewan Rakyat merekodkan bahawa Takiyuddin memohon agar dirujuk ke JHK Parlimen tujuan pembelaan diri, sewaktu perbahasan 4 Dis lalu.

Jurucakap kerajaan sebelum ini membidas Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, ekoran dakwaan Jemaah Menteri campur tangan dalam urusan Dewan Rakyat, berhubung isu merujuk Takiyuddin ke JHK Parlimen.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan dakwaan itu tersasar daripada fakta kerana menteri telah menjelaskan usul dibentang di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara terbabit dirujuk secara rasmi ke JHKP untuk dipertimbangkan mengikut aturan ditetapkan.

Sehari sebelum itu, usul menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan kenyataannya mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Masjid Rusila di Terengganu dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985 ditangguhkan.

Keesokannya, Azalina dilaporkan berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan supaya Takiyuddin dirujuk kepada JHK Parlimen bagi tujuan penelitian lanjut selaras Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Fadhli bagaimanapun mendakwa kenyataan itu menimbulkan kebimbangan serius berhubung campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif kerana tatacara dan disiplin Ahli Parlimen adalah bidang kuasa eksklusif Dewan Rakyat, bukannya Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.