
Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata pegawai penyiasat mungkin memanggil Sanusi dalam minggu ini atau minggu depan untuk mengambil keterangannya di Ibu Pejabat SPRM.
“Kertas siasatan membabitkan REE sudah berada di peringkat akhir untuk dilengkapkan, jadi kita akan panggil beliau bagi menjelaskan perkara ini.
“Siasatan SPRM terhadap isu REE secara menyeluruh dari sudut tatakelola dan undang-undang yang digunakan dalam REE, selain melihat kepada sistem dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya menurut Utusan Malaysia selepas menghadiri Program Executive Talk bersama SPRM di Putrajaya.

Beliau berkata, hasil siasatan diharapkan tidak hanya tertumpu kepada perlakuan jenayah, tetapi mengesan penyalahgunaan sistem dan SOP.
Sabtu lalu, SPRM memaklumkan mereka mendapat petunjuk baharu dan mungkin memanggil individu penting bagi membantu siasatan rasuah serta salah guna kuasa dalam perlombongan REE di Kedah.
Siasatan terperinci masih dijalankan dan keterangan baharu berjaya diperolehi.
Sebelum ini, SPRM menahan reman seorang ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan pengarah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan rasuah serta salah guna kuasa dalam perlombongan REE.
Dilaporkan aktiviti perlombongan REE dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat yang dikatakan mendapat perlindungan pihak berkuasa tertentu sejak 2020.
Hasil siasatan SPRM mendapati beberapa bayaran disyaki membabitkan rasuah lebih RM13 juta diberikan syarikat terbabit.