
JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan nombor pendaftaran M1M merupakan NPI paling tinggi dibida dengan nilaian RM622,000 manakala M5M berada di tempat kedua tertinggi dengan harga RM500,000.
“Ketiga, M8M dengan nilaian RM450,000, diikuti M9M dengan nilai RM402,004 dan kelima, M6M dengan nilaian RM350,000. Siri M_M ini menunjukkan sambutan yang luar biasa daripada pembida-pembida.
“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah sebanyak 25,033 orang dan sejumlah 6,872 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” menurut kenyataan itu.
JPJ menjelaskan lima nombor yang paling banyak dibida ialah M101M iaitu 39 pembida, M155M (33 pembida), M51M (32 pembida), diikuti dengan M313M (31 pembida) dan seterusnya M39M sebanyak 28 pembida.
“Hasil pembidaan siri M_M ini yang membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’ mendapat sambutan daripada pelbagai pihak sekali gus menunjukkan semangat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2023,” menurut kenyataan itu.
JPJ mengucapkan tahniah kepada para pembida yang telah menerima keputusan rasmi pada 5 Sept lepas dan berterima kasih kepada semua pengguna yang menyertai bidaan itu melalui Sistem JPJeBid.
Bidaan nombor pendaftaran melalui Sistem JPJeBid secara dalam talian ini ialah suatu usaha jelas JPJ dalam menyediakan perkhidmatan secara digital kepada seluruh rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.