Budaya hidup tidak sihat punca 73% kematian akibat NCD

Budaya hidup tidak sihat punca 73% kematian akibat NCD

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata hampir separuh rakyat Malaysia tidak tahu mereka menghidap penyakit tidak berjangkit.

Lukanisman Awang Sauni (kiri) bersama Lim Hui Ying melepaskan Kembara Sekolah 2023 di Bulatan Sihat Kompleks E, Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 73% kematian di negara ini akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) disebabkan budaya hidup tidak sihat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Merasmikan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, beliau berkata, hampir separuh rakyat Malaysia tidak tahu mereka menghidap NCD.

“Hampir 50% tidak tahu mereka menghidapi NCD dan ini membawa kepada peningkatan risiko mendapat komplikasi jika tidak mendapatkan rawatan awal.”

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, seorang daripada dua dewasa mempunyai berat badan berlebihan dan obes, dengan golongan tertinggi mengalami masalah itu ialah wanita (54.7%) serta individu berusia 55 hingga 59 tahun (60.9%).

Menurut tinjauan itu juga, seorang daripada empat dewasa di negara ini tidak aktif fizikal, dengan golongan paling tidak aktif ialah wanita (28%), pelajar (39%) dan warga emas (59%).

Tinjauan itu juga mendapati tahap literasi kesihatan yang rendah dalam pembudayaan hidup sihat rakyat seperti tidak aktif secara fizikal ialah 25.1%, tidak cukup makan sayur dan buah mengikut saranan (94.9%) serta amalan merokok (23.1%).

Lukanisman berkata, pelaksanaan BMSS yang diperkenalkan menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) diharap dapat meningkatkan kesedaran rakyat untuk bertindak mengubah tingkah laku kepada amalan sihat.

Katanya, BMSS disambut setiap September dan sejajar hala tuju Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beralih fokus daripada “sick care” atau penjagaan pesakit kepada “health care” (penjagaan kesihatan) dan kesejahteraan menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat selari hasrat Kertas Putih Kesihatan.

“Peningkatan penyakit akibat pembudayaan hidup tidak sihat oleh rakyat Malaysia memberi tekanan kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan negara.”

Terdahulu, Lukanisman secara simbolik merasmikan pelepasan Kembara Sekolah bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying sebagai manifestasi kolaborasi rakan strategik bersama Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Suraiya Syed Mohamed berkata pelbagai program akan dilaksanakan untuk meningkatkan literasi kesihatan bermula dari sekolah.

“Sebanyak 136 sekolah akan terlibat dalam Kembara Sekolah yang akan menjalankan aktiviti menjurus kepada penjagaan kesihatan. Tahun ini, kita juruskan kepada murid sekolah kerana mereka mudah dibentuk.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.