Kematian kadet UTM diklasifikasi kes bunuh

Kematian kadet UTM diklasifikasi kes bunuh

AGC berkata keputusan dibuat hari ini selepas menerima dan meneliti laporan siasatan awal dikemukakan polis.

Syamsul Haris Shamsudin
Syamsul Haris Shamsudin meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Dalam kenyataan, AGC berkata keputusan itu dibuat hari ini selepas dimaklumkan dan meneliti laporan siasatan dikemukakan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Setelah dimaklumkan dan meneliti hasil laporan siasatan tersebut, jabatan ini telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk siasatan selanjutnya oleh polis,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata siasatan diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian mangsa sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan selari peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, masyarakat diingatkan tidak membuat spekulasi terhadap kes itu sementara polis melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah dalam negara.

Pada 28 Nov lalu, AGC berkata sebarang tindakan undang-undang terhadap kes kematian Syamsul akan dibuat selepas siasatan polis.

Katanya, polis sedang melakukan siasatan bagi menyempurnakan beberapa arahan yang telah dikemukakannya.

Ia mengulas laporan FMT berhubung gesan keluarga Syamsul supaya mengambil tindakan serta-merta selepas laporan bedah siasat kedua mengesahkan kematian kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu akibat kecederaan leher traumatik.

Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.