
Runtuhan berlaku pada lewat Selasa di kejiranan Al-Mustaqbal, apabila sebuah bangunan kosong runtuh, sekali gus menyebabkan bangunan empat tingkat bersebelahan turut runtuh, kata pendakwa raya.
Bangunan kedua itu menjadi lokasi majlis aqiqah tradisional bagi meraikan kelahiran.
Wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban. Seramai 16 lagi cedera, sebahagiannya parah.
Pihak berkuasa berkata, angka korban mungkin meningkat kerana operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Polis membuka kertas siasatan di bawah seliaan pendakwa raya bagi mengenal pasti punca runtuhan itu.
Penemuan awal menunjukkan kedua-dua bangunan itu dibina pada 2006.
Tragedi ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan bangunan di Maghribi.
Januari lalu, Setiausaha Negara bagi Perumahan, Adib Ben Ibrahim, dilaporkan berkata kira-kira 38,800 bangunan di seluruh negara berisiko runtuh.
Fez, bandar ketiga terbesar di Maghribi menyaksikan beberapa siri protes sejak kebelakangan ini berhubung keadaan hidup daif dan perkhidmatan awam terhad.
Runtuhan kali ini antara insiden terburuk sejak sebuah menara runtuh di bandar bersejarah Meknes pada 2010 yang meragut 41 nyawa.