
Naib Presiden Umno Johari Ghani menyeru rakyat berwaspada dengan golongan yang terbawa-bawa ketika berpolitik kerana ia boleh menggoyahkan kestabilan, serta golongan “jual agama”.
“Jangan hanya pakai slogan membangun bersama Islam tetapi negeri ke belakang. Tak usah jual agama kerana nak kerusi. Jual agama untuk kerusi tak boleh buktikan kita dipimpin orang yang boleh bangunkan negara,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di Perling, sempena PRK Parlimen Pulai.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa masalah ekonomi seperti pengangguran tidak dapat diselesaikan dengan ketaasuban politik.
“Ini yang kita (kerajaan perpaduan) nak buat. Ia tak ambil masa sekejap nak selesai tetapi ambil jangka masa panjang. Kita kena bina asas itu,” katanya.
Ahli Parlimen Titiwangsa ini juga menepis hujah yang memperkecilkan pembangunan. “Pembangunan itu dituntut dalam Islam,” tegasnya.
Dalam jelajah hari ini, Johari bersama-sama calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kayat, melawat perkampungan Orang Asli Bakar Batu.
Suhaizan yang mempertahankan Pulai bagi PH dicabar oleh calon Perikatan Nasional, Zulkifli Jaafar, dan calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.