Muda mahu lancar kempen berkait Zahid, kemuka tuntutan

Muda mahu lancar kempen berkait Zahid, kemuka tuntutan

Muda mahu penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara serta memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Setiausaha Agung Muda Amir Hadi berkata partinya mahu Zahid Hamidi didakwa segera, selepas beliau dilepas tanpa dibebaskan mahkamah.
PETALING JAYA:
Muda pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman ingin melancarkan kempen selepas mahkamah melepas tanpa membebaskan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung Amir Hariri Abd Hadi berkata Muda mempunyai beberapa tuntutan iaitu penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara, memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, dan mahu Zahid didakwa segera.

“Tarikh kempen akan umum dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Dalam pada itu, Amir berkata Muda tidak teragak-agak turun semula ke jalan raya jika tuntutan itu tidak dipenuhi kerajaan.

“Agenda reformasi yang diangkat sebelum ini antara sebab kita menyokong kerajaan perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muda Syed Saddiq berkata tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan Muda dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, keputusan kes Zahid semalam “melanggar garis merah” dan menggesa tuntutan dibuat Muda diambil tindakan segera oleh kerajaan.

“Muda tidak teragak-agak untuk menilai kedudukannya dalam kerajaan perpaduan pada hari ini.

“Sebab itu Muda mengambil langkah gerakan kempen protes jalan raya dan di media sosial,” katanya.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz, pula menggesa semua Ahli Parlimen kerajaan perpaduan membuat kenyataan berhubung kes Zahid.

Beliau berkata, kenyataan mereka penting berikutan sebelum ini kerajaan perpaduan dibentuk bagi melawan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.