
Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, berkata kedua-duanya merupakan dua janji utama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, terutama selepas kekalahan teruk pada PRN Sabah minggu lalu.
“Kedua-dua reformasi ini boleh dilaksanakan serta-merta tanpa kos, tanpa penangguhan, dan kesannya dapat terus dirasai,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita MCA.
Katanya, PH memilih untuk ‘buat-buat lupa’ dan menegaskan dalam kempen PRU 2018, Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh menyeru perdana menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan.
Gesaannya dibuat berikutan skandal 1MDB yang mengaitkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, yang juga memegang portfolio kewangan.
Chong juga menegaskan selepas Najib, tiga perdana menteri berikutnya tidak memegang jawatan menteri kewangan secara serentak.
Mengulas mengenai Azam, Chong berkata beberapa pemimpin PH telah mendesak agar beliau dipecat dalam tahun-tahun sebelum pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.
Namun, kerajaan perpaduan diterajui Anwar bertindak melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam dua kali, dengan kontrak semasanya berlangsung sehingga Mei tahun depan.
MCA tak boleh berdiam diri soal rasuah
Chong berkata, PRN Sabah menjadi peringatan penting kepada MCA untuk kembali kepada tujuan politik asalnya – berkhidmat kepada rakyat secara jujur dan sentiasa mengekalkan hala tuju jelas politik.
Namun, MCA gagal dalam kes di mana rakyat Malaysia terutamanya komuniti Cina mengharapkan parti itu bersuara dan membetulkan hala tuju kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu.
“Kekalahan MCA yang lalu bukannya kerana kekurangan perkhidmatan kepada masyarakat, ataupun kekurangan usaha daripada ahli-ahli parti. Parti kita antara yang paling kuat bekerja di dalam negara ini.
“Masalah sebenarnya adalah apabila pendirian politik kita tidak jelas terutama dalam isu penting. Apabila dasar memudaratkan rakyat timbul, rakyat mengharapkan kita untuk menyemak dan mengimbangnya, namun kita gagal.
“Misalnya, apabila rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku, rakyat mengharapkan kita untuk memutus hubungan dengan pihak bersalah dan bersuara menentang mereka, tetapi kita tidak mengambil tindakan yang tegas.”
Chong berkata, situasi DAP kini sama seperti dialami MCA sebelum ini. Merujuk skandal perlombongan Sabah, beliau berkata DAP memilih berdiam diri apabila berdepan skandal rasuah didakwa melibatkan tokoh kerajaan.
DAP juga gagal menangani apa yang benar-benar penting bagi rakyat Sabah dan terus mengulang-ulang keperluan untuk kestabilan. “Ini mencerminkan kesilapan MCA dahulu. Apabila hala tuju kita salah, apabila pendirian kita tidak jelas, dan apabila prinsip kita digadaikan, ini sudah tentu akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kita,” kata Chong.
“Suara rakyat mudah dan jelas. Rakyat tidak mahu rasuah dan penyalahgunaan kuasa; rakyat tidak mahu ekstremisme; rakyat tidak mahu bangsa dan agama dimanipulasi; rakyat tidak suka ketidakadilan, layanan berbeza, keangkuhan birokrasi, dan penipuan politik.
“Rakyat mengharapkan kehidupan yang aman dan makmur, pertumbuhan ekonomi, pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi. apabila keperluan rakyat diutamakan, hala tuju parti kita menjadi jelas.”