Minta rasuah bebas suspek dadah, 3 anggota polis ditahan SPRM

Minta rasuah bebas suspek dadah, 3 anggota polis ditahan SPRM

SPRM berkata semua anggota polis itu didakwa meminta rasuah RM800 untuk membebaskan suspek yang ditahan memiliki syabu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata tiga anggota polis itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
MELAKA:
Tiga anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah daripada seorang individu untuk melepaskan beberapa suspek disyaki memiliki dadah jenis syabu.

SPRM dalam kenyataan berkata Majistret Khairunnisak Hasni membenarkan permohonan reman terhadap tiga anggota polis berkenaan yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal bermula hari ini.

“Semua suspek ditahan 7 malam semalam di pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati suspek meminta rasuah daripada seorang individu berjumlah RM800 dan kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah balai polis lokasi mereka bertugas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.