
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berkata, beliau bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), sambil menambah kes itu membabitkan “pendakwaan politik dan terpilih”.
Adun Rengit itu juga berkata, perkara ini mengingatkan beliau tentang keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan veteran Umno Shahrir Samad daripada tuduhan pengubahan wang haram RM1 juta pada Januari, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu.
Pada perbicaraan Shahrir, seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah bahawa bekas peguam negara Tommy Thomas menekan SPRM agar mendakwa Shahrir walaupun kertas siasatan mereka mengenai kesnya belum lengkap.
“Saya harap tuduhan (sedia ada) terhadap Najib akan digugurkan. Sehingga hari ini, Jabatan Peguam Negara masih membisu tentang memo yang tersebar (tempoh hari),” kata Puad kepada FMT.
Beliau merujuk kepada memo setebal 12 muka surat didakwa berkait kes 1MDB-International Petroleum Investment Company (Ipic) Najib, yang menyatakan bahawa penilaian mendapati keterangan yang tersedia bagi kes itu “sangat tidak mencukupi untuk membuktikan kes prima facie bagi enam tuduhan, apatah lagi untuk mendapatkan sabitan yang melampaui keraguan munasabah”.
Memo itu dikatakan dihantar kepada peguam negara ketika itu, Tommy Thomas oleh pendakwa utama Jamil Aripin pada September 2019.
Jabatan Peguam Negara setakat ini berkata, pihaknya sedang menyiasat penyebaran dokumen itu, tetapi tidak mengesahkan kesahihannya.
Menyentuh tentang pelepasan Zahid dan pembebasan Shahrir, Puad berkata, begitu banyak masa telah terbuang, sementara defendan terpaksa menanggung kos perundangan yang tinggi.
“Keluarga mereka menanggung malu, manakala dana awam dibazirkan untuk perbicaraan yang sia-sia,” katanya.
“Justeru, polis mesti segera melancarkan siasatan terhadap memo yang tersebar itu (melibatkan kes 1MDB-Ipic Najib).”