
Beliau berkata walaupun ada beberapa portal berita disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) namun keadaan sekarang jauh lebih baik.
Bagaimanapun katanya, kerajaan berpegang dengan pendirian mempertahankan kebebasan media namun tidak berkompromi dengan laporan fitnah dan palsu.
“Sepanjang saya berkhidmat sebagai menteri komunikasi dan digital, tidak ada seorang wartawan pun yang ditahan polis, tidak ada satu surat khabar pun ditutup seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Saya terima kenyataan dan pandangan yang disampaikan (mengenai sekatan terhadap portal berita), dan saya harap ada beberapa penambahbaikan boleh dilakukan supaya kita kekal jamin dan pertahankan hak media untuk terus bebas membuat pelaporan, tapi ada beberapa elemen seperti fitnah atau maklumat yang tidak betul (dilaporkan).
“Saya harap rakan media dapat bincang untuk pastikan ia tidak berulang kerana pelaporan yang tepat adalah sama penting dengan pelaporan yang pantas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Kuala Lumpur and Putrajaya hari ini, menurut Malaysiakini.
Fahmi juga berharap media dapat berbincang untuk pastikan tiada kejadian salah lapor berulang dan laporan berita tepat.
Beliau mengulas gesaan NGO antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) supaya kerajaan menghentikan amalan menyekat laman sesawang berita dalam talian susulan beberapa portal berita dikatakan disekat SKMM.
Tanpa merujuk mana-mana kes secara khusus, SKMM menjelaskan suruhanjaya itu perlu menyekat kandungan mengelirukan ataupun tidak tepat bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.