Bayaran ex-gratia, nelayan P Pinang Selatan digesa segera daftar SIMP

Bayaran ex-gratia, nelayan P Pinang Selatan digesa segera daftar SIMP

Nelayan dari sembilan unit nelayan di kawasan itu masih boleh membuat pendaftaran di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

Projek Pulau Pinang Pulau Selatan telah dikecilkan kepada satu pulau berbanding tiga susulan rundingan negeri itu dengan kerajaan persekutuan. (Gambar fail)
GEORGE TOWN:
Nelayan Pulau Pinang Selatan yang masih belum membuat pendaftaran skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) digesa mendaftar segera bagi membolehkan pemprosesan pembayaran bantuan kewangan (ex-gratia) dilaksanakan kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Farizan Darus berkata nelayan dari sembilan unit nelayan di kawasan itu masih boleh membuat pendaftaran di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

“Kami menyeru agar mereka mendaftar secepat mungkin kerana pembayaran ex-gratia sudah bermula sejak Jumaat bagi mereka yang sudah mendaftar awal-awal lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembayaran 75% dari jumlah penuh ex-gratia telah bermula susulan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) PSI telah diluluskan pada 21 Julai lepas.

Kebenaran merancang untuk kerja tambakan juga diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang pada 22 Ogos lepas.

Farizan yang mengetuai PIC, syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan projek PSI, berkata sepatutnya tidak ada lagi halangan nelayan membuat pendaftaran SIMP memandangkan penambakan sudah bermula.

Katanya, pada masa ini, kerajaan negeri sedang menunaikan janji kepada nelayan dan mereka sepatutnya lebih yakin serta terdorong untuk mendaftar kerana berhak untuk menikmati manfaat SIMP.

“Seramai 358 tekong dan awak-awak yang telah membuat pendaftaran awal menerima 75% ex-gratia, dengan kerajaan negeri telah mula membuat pembayaran melalui Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya sejak semalam kepada nelayan yang sudah disahkan status oleh Jabatan Perikanan negeri Pulau Pinang.

“Daripada 358 nelayan ini, pembayaran akan diproses terlebih dahulu untuk kumpulan penerima pertama seramai 185 orang yang telah selesai mengemukakan dokumen sokongan kepada PPSN,” katanya.

Beliau berkata bagi kumpulan penerima yang kedua membabitkan seramai 173 orang, mereka masih perlu mengemas kini dokumen sokongan yang diperlukan di PPSN untuk pembayaran yang dijadualkan pada hujung bulan ini atau Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.