
Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari, berkata langkah itu meringankan beban kos operasi harian nelayan, meningkatkan kecekapan dan kelangsungan aktiviti penangkapan ikan bagi menjamin bekalan hasil laut negara.
“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan komuniti nelayan yang merupakan antara kelompok utama dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan laut negara.
“Nekmat akan terus menyokong dasar kerajaan yang memihak kepada kepentingan nelayan serta bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan dalam memastikan sektor perikanan negara terus mampan dan berdaya saing,” katanya kepada FMT.
Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan lebih 31,000 nelayan dan pemilik bot persendirian layak menikmati subsidi BUDI95.
Ia susulan pengumuman kerajaan bulan lalu, harga RON95 dikurangkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept lalu di bawah BUDI95 yang akan memanfaatkan lebih 16 juta rakyat Malaysia dengan had 300 liter petrol sebulan.
Hamid berkata, inisiatif itu selaras matlamat kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat di bawah kerangka Budi Madani, selain menunjukkan keprihatinan terhadap nelayan yang menjadi tunjang kepada keselamatan makanan negara.
“Nekmat turut menyambut baik langkah kerajaan memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot tanpa lesen di negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak agar tiada nelayan tercicir menerima manfaat subsidi ini.”
Pada masa sama, Nekmat menggesa pelaksanaan BUDI95 diselaraskan di peringkat negeri dan daerah melalui kerjasama rapat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan serta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi memastikan bantuan disalurkan dengan cepat, telus serta menyeluruh.