
Minggu lepas, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan rancangan itu bagi menambah baik akses kepada ubat-ubatan di kawasan berpendapatan rendah.
Penduduk di dua PPR di Kuala Lumpur yang dikunjungi FMT meluahkan rasa gembira dengan inisiatif tersebut.
Pemandu, Zamri Abu Bakar, 51, yang menetap di PPR Taman Intan Baiduri berkata, untuk sampai ke farmasi terdekat mengambil masa 15 minit, dan ia tidak beroperasi 24 jam.
“Mesin ubat layan diri akan membantu apabila berlaku kecemasan pada sebelah malam,” katanya.
Merujuk ramai warga emas yang tinggal di flat, Zamri berkata, mesin berkenaan juga dapat membantu golongan itu mendapatkan ubat-ubatan asas tanpa perlu pergi jauh.
Beliau berkata, satu mesin layan diri patut disediakan di setiap blok, yang setinggi kira-kira 17 tingkat, semuanya dihuni oleh keluarga.
Bagaimanapun, berhubung penyelenggaraan mesin tersebut dan risiko vandalisme, beliau berkata: “Mungkin kena pasang CCTV berdekatan mesin itu.”
Meor Saiful Meor Rodzi, 20, dari PPR Taman Kepong, turut gembira dengan cadangan itu kerana menurutnya, warga emas yang menetap di kawasan berkenaan sukar untuk bergerak jauh.
“Keadaan menjadi lebih teruk pada Jumaat dengan jalan sesak, jadi (mesin ini) bagus untuk warga emas yang kebanyakannya ada kesulitan untuk ke mana-mana,” katanya.
Seorang lagi penduduk PPR Taman Kepong, Ravindran Perumal, mengakui terdapat ramai warga emas serta orang kurang upaya yang menetap di flat itu.
“Ada klinik berdekatan, tapi buka dalam waktu bekerja sahaja,” kata pesara berusia 57 tahun itu.
“Lebih baik kaji dahulu berapa banyak mesin diperlukan di setiap blok kerana ramai penduduk boleh mendapat manfaatnya.”
Peniaga makanan, Hafiz Kamaruddin, 39, dari PPR Taman Intan Baiduri, berpandangan mesin ubat layan diri itu patut terhad menyediakan ubat-ubatan yang boleh dibeli di kaunter.
Hafiz, yang isterinya seorang jururawat, sedia maklum ubat-ubatan tertentu akan membawa kesan sampingan jika diambil secara salah.
“Lebih baik jika mesin itu hanya jual ubat yang tidak perlu preskripsi, seperti untuk sakit perut dan selesema. Tak boleh jual antibiotik atau ubat sakit jantung, itu bahaya,” katanya.
Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) Amrahi Buang turut menyatakan sentimen sama baru-baru ini, merujuk kepada ubat-ubatan berpotensi mengakibatkan kesan sampingan yang perlu diketahui masyarakat.