Sultan Selangor gesa segerakan jawatankuasa kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

Sultan Selangor gesa segerakan jawatankuasa kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata kebelakangan ini banyak kes syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan dan menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandangan penyelesaian boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu pada undang-undang berkaitan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi DUN dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

“Trend sebegini menggambarkan kedudukan enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar, yang sekali gus menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga timbalan pengerusi majlis berkenaan.

Justeru, baginda berpandangan penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas diberikan kepada DUN di dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah bagi orang Islam.

“Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” titah Sultan Selangor.

Titah baginda, jawatankuasa khas itu perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu itu dapat dibuat.

“Jawatankuasa khas ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang Perlembagaan, undang-undang sivil dan Syariah serta ahli-ahli akademik, dan tidak ketinggalan pengamal undang-undang yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang undang-undang sivil dan Syariah,” titah baginda.

Susulan itu, Sultan Sharafuddin berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir pada mesyuarat itu, dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan jawatankuasa khas berkenaan dan mengemukakan syor kepada MKI, seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan berkenaan.

Sementara itu, Sultan Selangor memaklumkan mesyuarat MKI pada sidang kali ini akan membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

“Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.