
Zuraida Kamaruddin berkata kedua-dua gabungan parti politik iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) seolah-olah tidak lagi mengutamakan agenda pemerkasaan wanita.
Beliau yang juga presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), berkata hanya Negeri Sembilan melantik paling ramai exco wanita iaitu tiga orang, Kedah dan Selangor pula masing-masing melantik dua exco wanita manakala seorang exco wanita dilantik di Pulau Pinang dan Kelantan.
Katanya, paling menyedihkan adalah di Terengganu yang mana bukan sahaja tiada wanita dilantik sebagai exco, tetapi juga portfolio kebajikan dan pembangunan wanita di negeri tersebut diserahkan kepada seorang Adun lelaki.
“Sedangkan pada PRN kali ini, Perikatan Nasional yang menyapu bersih keseluruhan kerusi di negeri tersebut mempunyai seorang Adun wanita tunggal iaitu Zuraida Md Noor yang telah memenangi kerusi DUN Ladang.
“Beliau hanya diberikan tanggungjawab sebagai timbalan pengerusi (timbalan exco) jawatankuasa kebajikan, pembangunan wanita, keluarga dan perpaduan nasional sahaja.
“Penglibatan golongan wanita yang semakin merosot boleh merencatkan pembangunan dan kebajikan wanita secara umum,” katanya.
Sementara itu, Zuraida menegaskan bahawa golongan wanita di negara ini perlu diwakili dengan seimbang.
“Penyatuan dan kesefahaman antara semua pemimpin wanita perlu dicapai bagi memastikan usaha kita untuk meningkatkan lagi representasi wanita di dalam kepimpinan negara dan negeri dapat dipenuhi.
“Ini sekaligus dapat mengimbangi pemusatan kuasa yang sedang dipegang oleh pemimpin lelaki,” katanya.