‘Free for all’ atasi kebuntuan kerjasama PH-BN Johor, kata Aminolhuda

‘Free for all’ atasi kebuntuan kerjasama PH-BN Johor, kata Aminolhuda

Ketua PH Johor Aminolhuda Hassan berkata semua parti boleh bertanding untuk ditentukan rakyat pada PRN Johor akan datang.

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan berkata tiada pembabitan PH dalam pentadbiran Johor diketuai BN ketika ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pakatan Harapan (PH) Johor Aminolhuda Hassan berpendapat konsep ‘free for all’ mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Bercakap kepada FMT, Aminolhuda berkata menerusi pendekatan itu semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut, sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, senario berkenaan sama seperti di Sabah yang menyaksikan parti bergabung di bawah kerajaan perpaduan persekutuan bertanding sesama sendiri pada PRN November lalu.

“Tak salah tanding semua dan serahkan kepada rakyat untuk buat keputusan, tak bingung lagi…biar free for all (semua bebas tanding dan letak ramai calon).

“Itulah satu-satunya cara lebih adil, PRN dahulu (2022) dibuat ketika Covid-19 dan ramai tidak keluar kerana takut,” katanya ditemui di Parlimen.

Aminolhuda merujuk peningkatan peratusan pengundi PRU15 berlangsung November 2022 pada kadar 70% di Johor berbanding 50% pada PRN, lapan bulan sebelumnya.

Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad berkata PH sedia berdepan pertandingan tiga penjuru pada PRN Jtanpa bergantung sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan BN.

Menurutnya, kerjasama pilihan raya antara keduanya dilihat tidak konsisten serta mengelirukan pengundi memandangkan kerajaan negeri dikuasai BN tanpa pembabitan rasmi PH.

PRN Johor 2022 menyaksikan BN menguasai 40 daripada 56 kerusi manakala PH menang 12 kerusi diikuti Perikatan Nasional (3) dan satu oleh Muda.

Tahun lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata ketiadaan pembabitan PH dalam pentadbiran Johor juga dapat dilihat apabila tiada wakilnya dilantik ke jawatan akar umbi seperti ahli majlis serta ketua kampung.

“Jauh sekali dengan GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” kataya sambil menyatakan PH membantu pembangunan di Johor dengan terus menyampaikan permohonan kepada persekutuan.

Beliau memberi contoh cadangan melebarkan lebuh raya dari Tangkak ke Skudai untuk melancarkan pergerakan kenderaan serta kehidupan seharian rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.