
Kali ini beliau merujuk dapatan penganalisis badan pemikir Ilham Centre yang mengatakan akar umbi jelas mahu satu perubahan drastik dalam kepimpinan Umno selain tidak yakin dengan keseluruhan kepimpinan bermula daripada presiden hingga pimpinan kanan.
Puad berkata, Umno sedar serta akur parti itu semakin hilang sokongan rakyat dan orang Melayu.
Katanya, Umno tidak menafikan perkara itu dan tidak timbul soal sindrom penafian.
“Tetapi ada beberapa pihak termasuk Ilham Centre hanya fokus kepada alasan tertentu dalam buat analisis. Sebab itu analisis oleh Ilham Centre ada kelompongan.
“Fokus mereka (Ilham Centre) ialah Zahid mesti letak jawatan. Umno perlu tokoh baru. Tetapi Ilham Center tidak berani komited, jika Zahid letak jawatan, masalah akan selesai.
“Umno perlu perubahan ‘total’. Tidak pula dinyatakan perubahan apa,” katanya di Facebook.
Semalam, Mujibu Muis daripada Ilham Centre dilaporkan berkata Umno yang kini berdepan hakisan keyakinan akar umbi dikatakan berpeluang untuk bangkit semula dengan perubahan drastik kepimpinan pusat.
Katanya, kaji selidik di lapangan merumuskan beberapa langkah dipercayai boleh memulihkan Umno, antaranya ketokohan serta pemulihan etika dan integriti.
Menghuraikan isu ketokohan, Mujibu berkata terdapat dua penemuan dalam kalangan Umno iaitu akar umbi mahu perubahan drastik dalam kepimpinan dan keinginan untuk memujuk kembali pemimpin yang telah “dibuang”.
Dalam pada itu, Puad juga berkata Malaysia berhadapan dengan politik ketaasuban ekstrem dan Umno menjadi mangsanya.
“Selagi ini tidak berubah bukan sahaja Umno, negara juga terancam.
“Politik mundur iaitu pendakwah suka menghukum kembali menguasai pemikiran politik masyarakat Melayu. Ia merisaukan,” katanya.