Polis rakam lebih 10 keterangan bantu siasatan nahas Elmina

Polis rakam lebih 10 keterangan bantu siasatan nahas Elmina

Antara yang dipanggil ialah pemilik video rakaman kejadian, pihak syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina pada 17 Julai lalu mengorbankan 10 individu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Polis memanggil lebih 10 individu setakat ini bagi merakam percakapan untuk membantu siasatan berhubung nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina dekat sini pada 17 Julai lepas.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata antara yang dipanggil ialah mereka yang mempunyai video rakaman kejadian, pihak syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kita kini menunggu sebarang perkembangan daripada siasatan daripada Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU),” katanya kepada media pada program PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival di Tapak Karnival, Stadium Shah Alam.

Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Sementara itu Hussein memaklumkan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan seorang individu mengenai salah laku seorang anggota polis di IPD Sepang yang tular di media sosial semalam.

Individu berkenaan mendakwa diugut seorang anggota polis berpangkat sarjan selepas membuat aduan kepada pihak jabatan agama Islam dan pihak pengurusan polis berkenaan kes khalwat membabitkan anggota terbabit.

”Siasatan telah diambil oleh pihak IPK Selangor dan kita akan lihat daripada laporan kedua-dua pihak. Kita akan buat siasatan lengkap sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.