
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Sept, manakala pengundian awal pada 3 Okt, kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.
“PRK (DUN) Pelangai melibatkan kos RM2.1 juta dan sejumlah 16,456 pemilih terlibat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Pelangai di Putrajaya pada Khamis.
Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lepas.
Johari yang merupakan exco kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau dipilih sebagai Adun Pelangai dengan majoriti 4,048 undi pada PRU15 tahun lepas.
Beliau mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH); dan Isa Ahmad (Pejuang).
Isnin lepas, Setiausaha SPR Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan pihaknya telah menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Pahang Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai.