
Bercakap kepada FMT, Adun Pertang itu berkata perbincangan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan selesai dan keputusan bersama sudah dicapai.
“Kita dah selesai bincang, dengan presiden parti pun dah dibuat. Kita dah ada keputusan dah,” katanya. “Sudah tentu lebih dari dua tetapi tak adalah dapat lima… sesuai dengan saham (kerusi) yang kita ada.”
Beliau berkata, BN menghormati keputusan pimpinan parti dan sedia membantu melancarkan pentadbiran negeri. “Kita berkongsi kuasa bawah kerajaan perpaduan. Kita kena bertolak ansur. Jadi sebagai rakan kongsi, bukannya kita anggap pihak satu lagi berada di bawah kita.”
Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir yang belum mengumumkan senarai exco selepas gabungan PH-BN menang 31 daripada 36 kerusi DUN pada PRN 12 Ogos lalu, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Umno yang memasuki gelanggang PRN tanpa komponen MCA dan MIC menawan 14 kerusi, berbanding komponen PH iaitu DAP (11), PKR (lima), dan Amanah (satu).
Jalaluddin sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya berharap BN mendapat lima atau enam kerusi exco dalam pembentukan kerajaan negeri.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan majlis istiadat angkat sumpah jawatan exco akan diadakan esok, di Istana Besar Seri Menanti. Perjumpaan antara Menteri Besar Aminuddin Harun bersama Adun pemerintah akan diadakan pagi ini.
Aminuddin yang juga Adun Sikamat dilantik semula sebagai menteri besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua, pada 14 Ogos lalu.